Malam Al-Qadar@LailatulQadar



Sekiranya keagungan bulan Syaaban kerana malam Nisfu Syaaban, bulan Rejab kerana malam Israk Mikraj, maka keutamaan bulan Ramadan ialah terdapatnya salah satu malam dinamakan malam Lailatulqadar.

Allah tidak menetapkan bilakah malam Lailatulqadar, kecuali hanya dijelaskan ia adalah salah satu malam pada bulan Ramadan.Lailatulqadar malam ‘misteri’ yang perlu dicari.Sesuatu yang istimewa tidak diberikan dengan mudah, melainkan sesiapa berusaha mendapatkannya.

Walaupun tidak dijelaskan bilakah malam Lailatulqadar, para ulama sepakat mengatakan ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan.Pendapat ini berdasarkan kepada petunjuk apa yang diamalkan oleh Rasulullah dan juga beberapa hadis mengenai Lailatulqadar.

Rasulullah diceritakan lebih tekun beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan.Mengikut riwayat sebagaimana dijelaskan oleh Aisyah: “Rasulullah apabila masuk 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam (dengan beribadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam ibadat) dan uzlah (tidak mencampuri) isteri-isterinya.” - (Riwayat Bukhari dan Muslim).


Sabda Rasulullah bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda brmaksud: “Carilah Lailatulqadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Para ulama berbeza pendapat sama ada Lailatulqadar berlaku pada malam genap atau malam ganjil daripada 10 malam terakhir itu.Walaupun ada hadis menjelaskan ia berlaku pada malam ganjil, Rasulullah tekun beribadat tanpa memilih bilangan harinya.

Menurut pendapat Imam Nawawi, memandangkan hadis mengenai Lailatulaqdar berselisih waktunya, ini menunjukkan bahawa malam berkenaan berpindah-pindah pada setiap tahun.

Waktu Lailatulqadar bermula selepas Maghrib hingga terbit fajar keesokkannya.Malam Lailatulqadar cukup istimewa kerana ‘nilai’ disamakan dengan 1,000 bulan atau lebih 83 tahun.Sesiapa melakukan ibadat dan kebaikan pada malam itu disediakan ganjaran sama seperti dia melakukannya berterusan selama 1,000 bulan.

Justeru, ganjaran malam Lailatulqadar perlu direbut setiap Muslim yang berusaha menempatkan dirinya pada kedudukan lebih baik di sisi Allah.
Anugerah Lailatulaqdar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad.Usia umat Nabi Muhammad lebih pendek berbanding umat nabi-nabi lain.Tetapi, dengan adanya malam Laulatulaqdar, peluang beribadat lebih ‘lama’ dapat dicapai.

Sebuah hadis menjelaskan bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” - (Hadis riwayat Bukhari).

Keistimewaan malam Lailatulqadar juga dikaitkan sebagai malam di mana al-Quran diturunkan.Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” - (Surah ad-Dukhan, ayat 3).

Firman Allah lagi bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan.” - (Surah al-Qadr, ayat 1). Manakala ayat 185 surah al-Baqarah bermaksud: “Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk dan perbezaan (antara yang hak dan batil).”

Maksud Allah menurunkan al-Quran pada malam Lailatulaqdar ialah diturunkan dari Lohmahfuz ke Bait al-Izaah di langit dunia secara keseluruhannya.Dari Bait al-Izaah, ayat al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah oleh Jibrail selama 23 tahun.

Sambutan Nuzul al-Quran pada malam 17 Ramadan seperti diamalkan di negara kita sebenarnya tarikh di mana ayat pertama diwahyukan kepada Rasulullah di Gua Hira'.
Category:
Reactions: 

0 tautan hati: